Sunday 21 October 2012

IBU BAPA / BAKAL IBU BAPA HARUS BACA !!!!!

Pelaburan Hartanah untuk Pendidikan Anak-anak

Apabila perkataan ‘pelaburan hartanah’ dibincangkan, kebanyakan orang akan melihat dari sudut pendapatan sewa (rental income) dan juga keuntungan hasil jualan hartanah selepas nilainya meningkat. Tidak dapat dinafikan bahawa memang itu cara yang selalu dipraktiskan oleh orang ramai apabila melabur didalam bidang hartanah.
Tetapi, bagi seseorang yang berpandangan jauh dan mengutamakan nilai-nilai kekeluargaan, pelaburan hartanah sebenarnya mampu memberi manfaat untuk kebaikan anak-anak pada jangka masa panjang. Banyak kaedah yang boleh diaplikasikan untuk kemudahan anak-anak kita.
Salah satu cara untuk menampung keperluan anak-anak kita ialah dengan menyewa hartanah tersebut selepas pembelian telah dilaksanakan. Hartanah tersebut tidak kira  sama ada apartment, rumah teres mahupun lot kedai (shoplot), Keuntungan daripada sewa terbabit boleh dijadikan wang untuk perbelanjaan anak-anak.
Perlu diingatkan bahawa kadar sewa bulanan akan naik dalam 3 hingga 5 tahun. Oleh yang demikian, untung bersih juga akan meningkat bersesuaian dengan keperluan dan kehendak anak-anak yang semakin meningkat.
Apabila anak kita ingin melanjutkan pelajaran di peringkat diploma atau ijazah,wang yang banyak diperlukan untuk menanggung perbelanjaan ini. Jika anak kita mendapat tajaan atau pinjaman kerajaan, beban kita dapat dikurangkan.
Tetapi, jika diperhatikan situasi pada masa kini, peluang untuk mendapatkan tajaan atau pinjaman kerajaan semakin sukar kerana persaingan yang lebih sengit, peningkatan jumlah pelajar yang layak memohon dan dana yang disediakan semakin berkurangan.
Jika tidak mendapat keistimewaan ini, bagaimana kita sebagai ibubapa perlu bertindak untuk mendapatkan sejumlah besar wang? Salah satu caranya ialah kita memohon kepada bank untuk ‘refinance’ hartanah terbabit supaya kita mendapat sejumlah wang yang besar bagi menjamin pendidikan anak-anak.
Perlu diingatkan bahawa hartanah tersebut akan meningkat harganya dalam jangka masa panjang.Selain itu, nilai hutang asal kita dengan bank semakin berkurangan kerana setiap bulan kita telah membayar ansuran bulanan.

Sebagai contoh, rumah teres di kawasan Setiawangsa pada tahun 2000 bernilai RM120,000. Selepas 10 tahun berlalu, harga rumah tersebut meningkat menjadi RM300,000.
Oleh yang demikian, jika kita memohon untuk re-finance, pada margin 90%, sebanyak RM270,000 dapat diperolehi. Selepas menolak baki hutang sebelumnya, mungkin RM200,000 bersih dapat digunakan untuk pendidikan anak-anak bagi menyambung ke peringkat diploma dan ijazah.
Keuntungan ini akan menjadi lebih banyak jika dikira wang ansuran bulanan yang telah ‘dibayar’ oleh penyewa.
Selepas tamat pelajaran di peringkat tinggi, anak kita akan memulakan karier dan semestinya memerlukan rumah untuk didiami. Rumah terbabit boleh diduduki oleh anak kita dan seterusnya mengurangkan perbelanjaan anak kita di permulaan kerjayanya.
Situasi ini boleh berlaku jika rumah yang dibeli itu berdekatan dengan tempat kerja barunya atau kawasan rumah itu senang untuk menggunakan kemudahan awam seperti bas dan LRT.Secara tidak langsung, perbelanjaan bulanan anak kita dapat dijimatkan dan seterusnya sejumlah wang dapat disimpan untuk berkahwin atau digunakan untuk tujuan pelaburan lain.
Para ibubapa perlu sedar bahawa seseorang yang sudah bekerja pada masa sekarang dengan bergaji RM2500 sebulan tidak akan mampu untuk membeli sebuah rumah dalam masa yang terdekat. Inikan pula 10 hingga 20 tahun akan datang!
Secara tidak langsung, anak kita juga boleh ‘ditugaskan’ untuk menyambung bayaran ansuran bulanan kepada bank dan seterusnya mengurangkan beban kita pada masa itu.
Seterusnya, apabila anak kita ingin melangsungkan perkahwinannya, ibubapa mungkin dapat menghadiahkan rumah tersebut sebagai hadiah perkahwinan. Lagipun, anak kita sudah mula membayar ansuran bulanan rumah terbabit 'jangan kedekotttt!!!!'.
Hal ini dapat mengurangkan belanja selepas kahwin anak kita dan wang tersebut bolehlah disimpan jika berlaku kecemasan atau persediaan untuk menyambut cahaya mata.
Walaubagaimanapun, kaedah pelaburan hartanah untuk anak-anak ini amatlah bergantung kepada kemampuan kita pada masa sekarang. Tetapi, jika tidak bermula dari sekarang, apakah nasib anak-anak kita 10 hingga 20 tahun akan datang?
Harga hartanah makin meningkat dan di sesetengah kawasan yang strategik, hartanah itu meningkat sebanyak 10% dalam masa 6 bulan dan harganya terus meningkat.
Peningkatan harga hartanah ini memang tidak dapat dibendung lagi Oleh yang demikian, sebagai ibubapa, kita perlu membuat persediaan yang rapi demi kepentingan masa depan anak-anak kita.
-hasil nurkilan drumah.com -

2 comments: